Latest Entries »

SANG KANCIL YANG CERDIK

Sang Kancil memang terkenal dengan otaknya yang sangat pintar lagi cerdik.  Pada suatu hari sedang Sang Kancil berjalan-jalan mencari makan, tiba-tiba terasa dirinya tergantung di atas pokok dan kedua-dua kakinya terikat dengan seutas tali yang sangat kuat.  Rupa-rupanya Sang Kancil telah terkena jerat yang dipasang oleh seorang lelaki yang tinggal  di sebuah kampung yang berdekatan dengan hutan itu.  Sudah puas Sang Kancil memberonta-ronta untuk cuba melepaskan dirinya.  Malangnya semakin ia memberonta-ronta semakin kuat ikatan yang mengikat kakinya.   Akhirnya Sang Kancil keletihan.  Matahari semakin tinggi, perutnya semakin lapar.  Dan ia berputus asa dan berserah apa yang akan berlaku.Tiba-tiba terdengar suatu bunyi seperti ada penghuni lain di kawasan itu.  Semakin lama bunyi itu semakin hampir dengan Sang Kancil.  Kelihatan seorang lelaki sedang melihat jeratnya yang sudah mengena.   Di dalam hatinya berkata malam ini ia makan malam berlaukkan gulai kancil.  “Hm…..masak lemak cili api tentu sedap” kata lelaki itu di dalam hatinya. Hatinya gembira tidak terkata.
Sang Kancil berasa sungguh takut, tapi apakan daya kerana kedua-dua kakinya telah terikat.  Lelaki itu pun membuka jerat dan membawa Sang Kancil pulang ke rumahnya. Sampai sahaja di rumah, lelaki itu pun menggantungkan Sang Kancil itu di sebatang pokok yang rendang.  Ia ingin membersihkan dirinya dahulu dan kemudian hendak pergi ke dapur menjamah sedikit makanan kerana perutnya sangat lapar.  Apabila Sang Kancil melihat lelaki itu pergi, ia mula berfikir bagaimana caranya untuk ia melepaskan dirinya.
Setelah hampir dua jam, lelaki itu muncul dan ia mengambil pisau dan mengasahnya sehingga tajam agar mudah untuk ia menyembelih Sang Kancil itu nanti.  Apabila lelaki itu menuju ke arah Sang Kancil yang digantungnya di sebatang pokok, dilihatnya Sang Kancil telah pun mati.  Lidahnya terjulur keluar, banyak lalat yang sedang menghurunginya. “Alahai, matilah pulak Si Kancil ini, kenapalah aku tidak menyembelihnya awal-awal tadi”.  Rasa menyesal timbul di dalam hatinya kerana terlewat untuk menyembelih Sang Kancil.  “Nampaknya kempunanlah aku untuk merasai gulai cili api kancil malam ini”.  Dengan rasa hampa dibukanya ikatan di kaki Sang Kancil perlahan-lahan dan dibawanya ke belakang rumah.  Lelaki itu terus menghumban Sang Kancil itu ke dalam himpunan sampah sarap. 
Apabila Sang Kancil terasa dirinya telah bebas dengan cepat dia bangun dan berlari sekuat-kuat hatinya ke dalam semak.  Terpinga-pinga lelaki itu kerana Sang Kancil yang disangka mati rupanya masih hidup.  Sejak dari peristiwa itu, lelaki itu berjanji akan memastikan setiap binatang yang menjadi mangsa jeratnya itu betul-betul telah mati sebelum untuk membuangnya.


Sebab itulah Sang Kancil dikenali sebagai binatang yang cerdik.  Ada sahaja ideanya yang menyebabkan dirinya terselamat dari sebarang bahaya. Jumpa lagi adik-adik. Wasalam.

Islamic Calendar

 

Di dalam sebuah kampung, ada seekor anjing yang sudah tua lagi terbiar. Tidak ada sesiapa yang mahu mendekati apatah lagi untuk memeliharanya.  Sebelum ini, anjing tersebut telah dipelihara oleh satu keluarga  berbangsa Cina. Setiap hari makanannya sedap belaka dan makanannya pula disediakan mengikut masa yang tepat. Bulunya cantik berkilat kerana sentiasa disikat dan dimandikan oleh tuannya.  Apabila ia berasa lapar, ia akan terus menuju ke arah pinggan yang berada di hujung beranda.  Tetapi apabila ia sudah tua, ia dihalau seperti anjing kurap. Betul kata pepatah melayu anjing kurap bermaksud sesuatu yang tidak elok dan tidak berguna lagi.
Setiap hari sukar untuk anjing tersebut mencari makan. Apabila terserempak dengan manusia pula, ada yang membaling batu dan ada pula yang membalingnya dengan kayu. Terpaksalah anjing itu lari menyelamatkan dirinya kerana takut terkena batu atau kayu. Kadang kala hinggap juga batu atau kayu di kaki atau badannya. Apatah lagi luka dan lebam di kaki atau badannya. Tiap kali anjing tersebut terpaksa merayau-rayau di kawasan sampah sarap dengan mengharapkan agar ada saki baki makanan yang boleh dimakan untuk mengisi perutnya yang lapar.

Pada suatu hari, sedang anjing itu berjalan-jalan di satu kawasan kampung, ia telah terlihat seketul tulang. Hatinya sangat gembira kerana hari itu merupakan rezekinya yang tidak disangka-sangka. Cepat-cepat anjing tersebut menggonggong tulang tersebut dan ia pun berlari dengan sekuat hatinya agar tidak ada sesiapa yang melihatnya.

Anjing itu pun berlari dan terus berlari sehinggalah sampai di sebuah sungai. Anjing tersebut terpaksa melalui sebatang titi untuk meneruskan perjalanannya agar dia boleh memakan tulang itu dengan tidak ada sesiapa yang akan mengganggunya. Ia melalui titi tersebut dengan penuh berhati-hati agar tulang itu tidak jatuh ke dalam sungai itu. Sambil ia melalui titi tersebut, dia melihat ada bayang-bayang di dalam sungai itu.

Dengan perlahan-lahan dia pun melihat di permukaan air sungai itu.  Didapatinya ada seekor lagi anjing yang sedang menggonggong seketul tulang yang sama sepertinya.  Maka ia pun berfikir jika dia dapat tulang yang digonggong oleh anjing di dalam sungai itu, maka dia akan mempunyai satu lagi tulang yang menjadikannya ada dua ketul tulang. Dia terus menyalak sambil menunjukkan taringnya untuk menakutkan anjing yang ada di dalam sungai itu. Dengan salakannya itu ia mengharapkan agar anjing yang berada di dalam sungai itu lari dan meninggalkan tulang yang sedang digonggongnya.

Apatah lagi, tiba-tiba tulang yang digonggongnya pun terus jatuh ke dalam sungai. Terkebil-kebil matanya melihat tulangnya yang telah hilang dan tenggelam tidak kelihatan lagi.  Alangkah kasihannya anjing tersebut kerana dia tidak dapat merasai kenikmatan tulang yang baru sahaja diperoleh pada hari itu.

Pada zaman dahulu, dipercayai semua binantang boleh bercakap sesama mereka. Pada suatu hari Sang Arnab sedang berjalan-jalan di padang. Hatinya riang tidak terkira. Sedang Sang Arnab berlari-lari sambil menyanyi, tiba-tiba Sang Arnab melihat Sang Kura-Kura sedang berjalan. Sang Arnab terhenti berlari, matanya sedang memerhati Sang Kura-Kura yang sedang berjalan amat perlahan. Terdetik timbul di hatinya untuk bertanya kepada Sang Kura-Kura.
Arnab : “Selamat pagi, Sang Kura-Kura!”.

Kura-Kura : “Selamat Pagi Sang Arnab”.

Arnab : “Hai Sang Kura-Kura. Kenapa engkau berjalan amat perlahan. Cubalah engkau berjalan laju sedikit. Kasihan aku melihat engkau berjalan sedemikian rupa”.

Kura-Kura : “Memanglah aku berjalan macam ini. Buat apa aku nak berjalan laju-laju pula.   Lagipun aku sedang menikmati pemandangan yang indah dan sejuk di sini”.
Arnab : “Agaknya kalau aku berlumba dengan engkau tentu aku yang akan menang” Kata Arnab dengan angkuhnya sambil ia melihat muka Sang Kura-Kura yang acuh tidak acuh dengan soalannya.

Kura-Kura : “Hmmm…tak semestinya Sang Arnab. Belum cuba belum tahu”. Kata Sang Kura-Kura yang juga tidak mahu mengalah”.

Arnab : “Hai, berlagaknya engkau ini. Bagamana kalau kita berlumba lari”.

Kura-Kura : “Tidak ada masalah Sang Arnab”.

Arnab : “Lihat pokok besar di hujung jalan sana. Siapa yang sampai dahulu ke pokok besar di hujung jalan itu, dialah yang menang”.

Kura-Kura : “Saya setuju”.

Arnab : “O.k. Satu! Dua! Tiga!”.

Sang Arnab pun berlari sekuat hatinya. Sambil berlari dia ketawa sendirian kerana memikirkan kebodohan Sang Kura-Kura yang sanggup berlumba dengannya. Sambil berlari Sang Arnab pun memandang ke arah belakang. Kelihatan Sang Kura-Kura sedang berjalan dengan begitu perlahan. Sang Arnab pun berfikir sekiranya ia berehat sebenar tentu Sang Kura-Kura pun masih tidak dapat mengalahkannya. Maka Sang Arnab pun berhenti di sebatang pokok sambil berangan, jika ada hadiah tentu ramai kawan-kawannya memuji atas kehebatannya. Akhirnya Sang Arnab tertidur dengan nyenyaknya.

Sang Kura-Kura pula terus berjalan dan berjalan, sehinggalah Sang Kura-Kura terlihat Sang Arnab sedang tertidur sambil menyandar di sebatang pokok. Sang Kura-Kura berjalan dengan perlahan agar Sang Arnab tidak mendengar sebarang bunyi. Sang Kura-Kura terus berjalan dan berjalan. Tiba-tiba Sang Arnab terjaga dari tidur. Beliau menyangka Sang Kura-Kura masih lagi tinggal di belakang. Sang Arnab pun berlari sekuat hatinya untuk sampai ke pokok besar di hujung jalan itu. Sampai sahaja di pokok besar itu, Sang Arnab melihat Sang Kura-Kura telah pun sampai sambil berehat sementara menunggunya. Sang Arnab berasa sangat malu di atas kekalahannya dan juga kerana keangkuhannya terhadap Sang Kura-Kura.

Kura-Kura : “Hai Sang Arnab, kenapa engkau lambat sampai”.

Arnab : “Hai Sang Kura-Kura, aku minta maaf kerana kesombongan aku tadi. Sebenarnya aku tertidur untuk melepaskan penat. Aku ingat engkau lambat lagi”.

Kura-Kura : “Tidak apalah Sang Arnab. Aku harap kita masih berkawan. Lain kali jangan sangka kita yang terbaik kerana ada lagi tuhan jadikan yang terbaik”.

Arnab : “Baiklah Sang Kura-Kura”.

Sejak dari itu, Sang Arnab dan Sang Kura-Kura pun menjadi kawan karib.

Kesimpulan dari cerita ini menunjukkan bahawa usaha itu tangga kejayaan. Jangan berhenti segala usaha adik-adik kerana setiap usaha akan beroleh kejayaan. Pada yang kuat pula jangan sombong dan bongkak kerana Allah tidak suka orang yang bersikap demikian. Jumpa lagi dalam cerita yang lain pula.